Monday, April 30, 2012

TIGA LANGKAH DALAM PROSES PEMILIHAN KERJAYA DAN PENDIDIKAN




Keselarasan antara ciri peribadi dengan ciri pekerjaan atau
program pengajian adalah sangat penting kerana ia dikatakan boleh mempengaruhi motivasi, kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan stabiliti dalam sesuatu pekerjaan. Sehubungan itu Parson (1908, dalam Sidek Mohd Noah, 2006) menyenaraikan tiga langkah dalam proses pemilihan kerjaya dan pendidikan.



Langkah Pertama

Langkah pertama ialah menolong individu mengenal pasti potensi diri menggunakan kaedah tertentu. Menurut Nowak (1986), untuk mengenal pasti potensi diri individu, aspek yang berkaitan dengan personaliti, minat, nilai serta pencapaian perlulah diteroka secara objektif dan mendalam. Terdapat pelbagai kaedah dan pendekatan yang boleh digunakan untuk mengenal diri namun kaedah yang paling popular berasaskan pendekatan Parson iaitu menggunakan teknik psikometrik. Pendekatan ini melibatkan penggunaan ujian psikologi yang meliputi ujian minat kerjaya, ujian personaliti, ujian nilai dan ujian pencapaian.





Langkah Kedua

Langkah kedua dalam strategi pemilihan kerjaya yang baik memerlukan individu mengumpulkan maklumat sebanyak mungkin mengenai sesuatu pekerjaan atau bidang pengajian. Antaranya termasuklah penerangan tentang pekerjaan, keperluan latihan, tempat latihan, syarat kelayakan akademik, jangka masa latihan dan maklumat lain yang berkaitan.





Langkah Ketiga

Langkah ketiga memerlukan individu membuat keputusan dalam memilih kerjaya. Langkah terakhir ini sangat penting kerana ia akan menentukan masa depan seseorang individu. Pada peringkat ini individu perlu menentukan dengan tepat matlamat kerjayanya dengan memadankan maklumat berkaitan potensi diri dengan maklumat tentang kerjaya yang dipilih. Dalam proses pemadanan kedua aspek ini, unsur kompromi aspek berkenaan mungkin memainkan peranan yang sangat penting.

Walaupun proses pemadanan ini amat mudah difahami iaitu seakan-akan memadankan pasak bulat ke dalam lubang bulat atau memadankan pasak empat segi ke dalam lubang empat segi, namun proses ini amatlah rumit dan memerlukan kepakaran khusus. Pada akhir langkah ketiga ini individu perlu memastikan beliau mempunyai matlamat kerjaya yang jelas. Matlamat kerjaya yang jelas ini perlu kerana ia dapat memberi arah serta hala tuju kepada individu tersebut di samping berperanan sebagai sumber motivasi dalaman yang penting dan utama.

No comments:

Post a Comment